Sunday, September 16, 2012

Dr. Mohd Asri : Taat pada penguasa ada batasnya

Pada Sabtu ini, saya Insya-Allah akan membentangkan kertas dalam Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak.

Tajuk yang diberikan kepada saya ialah "Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan Maqasid".

Oleh kerana penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi sedikit di ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.

Mentaati pemerintah ini termasuk dalam fikah siasah iaitu fikah Islam yang berkaitan dengan imarah, imamah ataupun kepimpinan dalam Islam.

Perbezaan pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini kerana ada golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini isu akidah.

Dalam erti kata lain, sesiapa yang tidak taat kepada kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan:

"Kelima: memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya. Tujuan untuk membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah khilafiyyah, tentang keluar menentang penguasa, mengenai mengikut salah satu imam mazhab yang empat...." (Muhammad Tahir ibn ‘Asyur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186. Tunisia: Dar Suhnun)

Walaupun tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka, tetapi memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar.

Ia akan membawa kekecohan bawa iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik.

Hal yang sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada parti politik mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka mengkafirkan ataupun memandang sesat sesiapa yang tidak menyokong parti tertentu.

Sejarah hitam kafir mengkafir di Malaysia adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan menurut kehendak politik kepartian.

Rukun kedamaian

Mentaati ulil amri ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakan maslahah siasiyah (kemaslahatan politik).

Mustahil dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan kemaslahan rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri.

Ini seperti mana mustahil dapat ditegakkan keamanan tanpa keadilan daripada pemerintah yang menguruskan kehidupan negara dan rakyat.

Allah menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa' ayat 58-59 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

"Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ayat perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab memilih pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian pemimpin pula berhukum dengan adil.

Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan, mana datangnya penegasan tanggungjawab ketaatan.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib:

"Tanggungjawab pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian memerintah agar mentaati pemerintah". (Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)

Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam kitab Fath al-Bari:

"Antara jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabiin kepada para pemerintah Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu untuk taat kepada kami dalam firman-Nya ‘dan Ulil Amri dari kalangan kamu'.

"Maka dijawab: 'Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut (dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah. (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4. Beirut: Dar al-Fikr).

Dalam Tafsir al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabiin yang terkenal Abu Hazim dengan Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan. (Jilid 1/232. Beirut: Dar al-Fikr)

Ini kerana, apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah kemaslahatan siasah yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan.

Maka, ketika itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran Allah dan rasul-Nya.

Tidak mutlak

Maka, ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka ditaati tidak sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya adalah mutlak.
Allah dan rasul tidak boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan manusia.

Hal ini tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan kepada mereka tidak mutlak. Mereka sentiasa terdedah kepada kepentingan diri seperti mana manusia lain, maka bukan semestinya semua yang datang dari mereka itu untuk maslahat rakyat dan negara.
Kemungkinan arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut yang bermaksud:
"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi:

"Berkata al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firman-Nya ‘taatilah Rasul' sebagai isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak mengulanginya pada ulil amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan mereka (ulil amri) yang tidak wajib ditaati.

"Kemudian Allah terangkan perkara itu dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu...' seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan kebenaran maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisihkan mengenainya kepada hukum Allah dan Rasul-nya". (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4)

Taat dalam perkara ijtihadi

Tidak dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui oleh rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak mungkar.

Maka sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah (kerosakan) yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat mesti taat.

Ini kerana jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam.

Dalam keadaan seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam.

Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW, sabda baginda:

"Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah.

Bahkan dalam hadis di atas baginda Nabi SAW menegaskan bahawa ketaatan kepada para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia tidak menyanggahi Allah.

Kata al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan:

"Maksudnya, wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat". (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/537, Beirut: Dar al-Khair).

Dengan itu, jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan pandangan pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara nyata, maka kita diamkan diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya.

Ini tidak menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.

Membezakan

Maka, rakyat hendaklah membezakan antara perkara mungkar, zalim dan mafsadah (merosakkan) dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh sesetengah pihak tetapi ia tidak mungkar, tidak zalim dan tidak merosakkan kepentingan awam.

Maka bahagian yang kedua termasuk dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh seorang muslim sekalipun dia tidak menyukainya.

Namun, jika ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata, maka ia tidak ditaati.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sunday, July 01, 2012

Diet Rasulullah s.a.w

Rasullullah s.a.w telah menyediakan banyak panduan untuk umat baginda termasuiklah dalam isu kesihatan dan pemakanan. Malangnya, kita sebagai umat baginda tidak peka dan mengambil mudah dalam banya perkara. Oleh itu mari kita kongsikan diet unjuran Rasulullah s.a.w untuk panduan kita ber sama.


Friday, June 15, 2012

Sketsa Jumaat: Ketua Kampung, Perompak dan UMNO

Baru-baru ini ada seorang hamba Allah sempat bersembang dengan dan menyuruh saya supaya bersyukur kepada UMNO/BN. Bila saya tanya mengapa, dia menjawab kerana BN telah membangunkan Negara ini dengan pelbagai jenis pembangunan dan seterusnya mula menyenaraikan segala jenis pembangunan yang mampu difikirkannya satu persatu. Selesai dia bercakap, maka saya menjawab balik, “adakah patut saya bersyukur kepada BN yang membina sesuatu dengan harga RM 500 Juta sedangkan benda yang sama boleh dibina dengan harga RM 300 Juta? Kalau tuan merupakan Pengarah Syarikat dan salah seorang kakitangan tuan membayar RM500 untuk barang yang bernilai RM300 adakah tuan akan berterima kasih dengan dia?” Dia kemudianya diam tidak berkata apa-apa.

Bagi memudahkan seseorang memahami apa yang ingin kita sampaikan, perumpamaan adalah amat berkesan. Dalam soal apa yang berlaku di bawah kerajaan UMNO/BN ini, saya selalu berikan beberapa perumpamaan supaya ianya bertambah mudah untuk difahami. Dua perumpamaan mudah yang boleh difikirkan bersama adalah begini:



Satu kumpulan penduduk yang tinggal di sebuah kampung berpakat melantik salah seorang dari mereka menjadi Ketua Kampung. Kerana kedudukan kampung tersebut yang jauh dari bandar menyukarkan mereka dalam urusan jual beli, maka mereka kemudiannya mengutip duit dari setiap anggota dan diserahkan kepada ketua mereka untuk membeli makanan di bandar berhampiran. Ketua ini mengambil 30% untuk dirinya dan menggunakan baki 70% itu untuk membeli makanan. Setelah dibeli maka diserahkan kepada anggota lain untuk memakannya. Maka ada yang bertanya, “kenapa sikit sangat?” Ketua itu menjawab,kamu sepatutnya berterima kasih dengan apa yang telah saya berjaya belikan untuk kamu. Di kampung sebelah sana, habis semua duit diambil oleh ketua yang mereka lantik! Di sini sekurang-kurangnya kamu dapat juga makanan!

Pada masa yang sama, sebuah rumah di kampung yang berhampiran telah dimasuki perompak. Setelah mengikat tuan rumah sekeluarga maka perompak tersebut mula mengaut barang kemas dan wang yang dijumpainya. Tuan rumah yang diikat mula mengutuk perbuatan tersebut dan menyatakan bahawa perbuatan mencuri harta keluarganya adalah zalim dan tidak bertamadun. Lalu dengan satu nafas perompak itu menjawab, “kamu patutnya bersyukur kerana saya tidak bawa lori dan curi seluuuruh isi kandungan rumah kamu! Saya berbaik hati meninggalkan TV serta peti sejuk dan saya tidak mencederakan ahli keluarga kamu. Kalau pencuri lain, habis licin dia kerjakan kamu!”

Sebenarnya inilah apa yang berlaku di bawah BN. Mereka khianat dan mencuri tetapi mereka ingin rakyat bersyukur kepada mereka dan terus mengundi mereka. Mereka tunjuk pada pembangunan yang telah mereka lakukan tetapi hakikatnya ianya hanya sebahagian (mungkin 70%) dari apa yang mampu dilakukan. Mereka telah mencuri sebahagian (mungkin 30%) dari kekayaan Negara untuk diri sendiri dan kroni mereka tetapi pada masa yang sama mereka minta rakyat bersyukur atas ‘pemberian’ mereka!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

http://www.khalidsamad.com
 

Tuesday, June 12, 2012

Mana 'Talking Quran' kita?

Saya sering juga menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pelbagai gereja di persekitaran tempat tinggal saya di Bandar Oxford ini. Saya ingin melihat dan mendengar cara mereka.

church christian in kuala lumpur 1Ternyata gereja itu telah jauh berubah dari apa yang tercatat dalam sejarah mereka. Dahulunya, hukuman dan penyeksaan ke atas mereka yang dianggap tidak sealiran menjadi amalan gereja.

Betapa ramai yang dibakar hidup-hidup, diseksa dengan dengan pelbagai seksaan yang kejam, dimalukan dan pelbagai lagi penindasan. Kesemuanya atas nama Jesus.

Bukan sedikit Yahudi dan Muslim yang dibunuh di Eropah dengan cara yang begitu dahsyat. Bahkan bukan sedikit golongan pembaharuan Kristian sendiri yang berbeza mazhab seperti Protestan yang dibakar hidup-hidup.

Bumi Oxford turut menyaksikan kekejaman itu dalam sejarahnya. Betapa ramai juga saintis yang dibakar dan dibunuh. Kesemuanya atas nama Tuhan.

Kononnya mereka menghukum penentang Tuhan, ataupun yang berbeza dengan Tuhan yang ditafsirkan oleh mereka.
Berubah

Hari ini, pendekatan gereja sudah jauh berubah. Sangat lunak. Sekularisasi yang memisahkan agama dari kuasa politik telah membawa gereja kepada keadaan yang lebih tabii dan rasional.

Bicaranya penuh dengan keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita tidak ingin memaksa orang lain menjadi kristian tetapi ingin berkongsi dengan mereka.

Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi isu-isu kemanusiaan. Di Gereja St Aldates diperuntukkan pagi Hari Selasa ‘Prayer for the Muslim World'.

Juga, banyak pula aktiviti gereja yang menarik untuk pelbagai pihak. Kelas tarian, kelas bahasa Inggeris, sejarah, lawatan dan perjumpaan mingguan. Ramai orang dari pelbagai agama hadir untuk bersosial.

NONETiada penekanan untuk menerima agama Kristian, sebaliknya sekadar memberikan khidmat. Ramai mereka yang mengendalikan program itu sendiri tidak mendalam dari segi ilmu teologi itu sendiri.

Banyak persoalan yang ditanya, sukar gagal dijawab dengan jawapan yang memuaskan. Namun, walaupun mereka tidak menawan dengan hujah, tetapi dengan menambat hati dan jiwa.

Banyak aktiviti kebajikan yang mereka lakukan di seluruh dunia menarik perhatian manusia.

Saya melihat ramai sekali orang-orang Cina yang terlibat dengan pelbagai aktiviti gereja di sini dan di seluruh UK. Ramai yang menjadi petugas dan pendakwah. Mereka sangat aktif.

Bahkan ada gereja yang memberikan tumpuan khas untuk mereka. Saya percaya bahawa ajaran Kristian akan mendapat tempat di hati rakyat China. Bahkan tidak mustahil satu hari China akan menjadi negara yang terbesar penduduk Kristiannya.

Dalam adat dunia, sesiapa yang bekerja dia mendapat hasilnya. Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat perkembangan China hari ini.

Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Kristian berada di puncak.

Malang

Malang sekali umat Islam. Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun, ramai yang menggunakan pendekatan yang salah.

islam religion muslim 1Orang Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat.

Tiada petugas yang menjaga. Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja. Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut.

Namun jika kita ke kawasan pedalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka.

Saya pernah melihat mereka ketika suatu masa dahulu saya menyertai aktiviti dakwah kawasan pedalaman Thailand.

Akal Dan Jiwa


Islam agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka. Inilah asas pendekatan dakwah Islam.

Islam tidak pernah kenal kegiatan ganas dalam dakwah, sama ada pada tindakan ataupun perkataan yang jelek. Allah mengarahkan Muslim. dalam firman-Nya (maksudnya):

"Dan berbicaralah kepada manusia dengan baik" (Surah al-Baqarah 83).

Ayat ini menyatakan "berbicaralah kepada manusia" bukan sekadar berbicara kepada orang Muslim sahaja.

Dalam Tafsir at-Tabari, ketika mengulas ayat ini dinukilkan kata-kata Hasan al-Basri: "Maksud ayat ini; perkataan yang lunak, adab yang baik, akhlak yang mulia."

Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada kebenaran. Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan cercaan.

azlanFirman Allah (maksudnya): "Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin (polytheist) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)." (Surah at-Taubah, ayat 6).

Dalam ayat di atas golongan bukan Islam yang meminta bantuan dilindungi dan dihantar ke tempat yang aman sekalipun mereka enggan menerima Islam setelah mendengar hujah yang benar.

Dalam Surah al-Nisa, ayat 36, Allah berfirman (maksudnya): "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri".

Kata at-Tabari: "Maksud al-jar bil-janb dalam ayat ini ialah jiran yang jauh dan asing. Ia merangkumi Muslim, musyrik (polytheist) Yahudi dan Kristian."

Mazhab yang empat bersepakat bahawa harus kita Muslim mengucapkan takziah kepada non-Muslim.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni menyebut bahawa antara ucapan Muslim apabila memberikan takziah kepada Non-muslim ialah:
"Moga Allah memberikan ganti musibah yang menimpamu dengan yang terbaik dalam kalangan keluargamu."

Politik

Hubungan indah yang Islam gariskan antara Muslim dan Non-Muslim telah bertukar menjadi isu politik dalam banyak keadaan.

Ajaran-ajaran agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan yang seperti ini.

azlanSedangkan nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan Muslim gagal melihat wajah Islam yang asal. Allah yang Maha Rahmat itu sering dilukis dalam gambaran Allah yang maha bengis.

Jika gereja berubah daripada negatif kepada positif, kita juga patut kepada kepada positif yang jelas termaktub dalam nas-nas kita.

Isu hubungan Muslim dan Non-muslim kadang-kala dimainkan oleh mereka yang berkepentingan politik.

Kerja Muslim sepatutnya berdakwah dan berdiolag dengan cara yang baik, bertukar menjadi bercoleteh dan merepek dalam perkara yang selekeh.

Kita asyik merungut dakwah orang, kita tidak buat dakwah kita. Kita bising ‘Talking Bible' orang lain, kita tidak sediakan pun ‘Talking Quran' kita.

Hari ini dunia persaingan. Pasaran dakwah dan pemikiran sangat terbuka. Ia boleh sampai kepada manusia melalui pelbagai cara. Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya.

Maka, nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya. Namun, sekarang berleter sebab orang berdakwah ataupun berkempen, tidak akan memberi apa-apa kekuatan untuk orang menerima kita.

NONEPROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmiMalaysiakini.

Tuesday, June 05, 2012

Petronas: Harga gas asli patut ditetapkan pasaran

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas hari ini mencadangkan agar subsidi ke atas harga gas asli dihapuskan.

Menurutnya, subsidi yang besar ke atas harga bahan api itu mengurangkan kecekapan penggunaan tenaga kerana selain menjejaskan persaingan ia turut menghalang pelaburan baru.
"Saya percaya harga gas patut ditentukan pasaran.

"Pemain industri akan mempunyai fleksibiliti untuk mengurus risiko mereka sendiri, bekerja untuk memastikan bekalan mencukupi, dan memenuhi permintaan pada harga ditentukan pasaran," katanya.
Tambahnya, sesetengah negara yang mempunyai rizab gas asli yang besar menetapkan kadar tarif rendah untuk menjana akiviti ekonomi setempat.

"Negara pengimport pula berhadapan dengan harga ditentukan pasaran dan tidak dapat memindahkan kos kepada pengguna.

"Dalam kedua-dua contoh, cabaran dalam pasaran yang disubsidikan adalah mengekalkan sistem itu cekap kerana subsidi yang banyak akan menjurus kepada ketidakcekapan tenaga," katanya lagi.

Beliau berucap di Persidangan Gas Sedunia ke-25 di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut, Petronas mengalami kerugian sehingga RM133 juta ekoran subsidi gas yang diberikan kepada penjana tenaga bebas antara 1997 hingga Mac 2011.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata harga gas yang dikawal selia untuk mencapai objektif sosial perlu diselaras dan dilihat dalam konteks ekonomi yang lebih meluas.

Berdasarkan perkara itu, katanya, kerajaan sebelum ini melaksanakan reformasi harga gas sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (NEM) membawa manfaat kepada industri gas tempatan.

"Saya berbesar hati melaporkan bahawa reformasi berkenaan mewujudkan keyakinan dalam industri gas tempatan.

"Saya kekal yakin kita akan menyaksikan pasaran gas yang lebih segar dan dinamik pada masa akan datang," kata Najib dalam ucaptama sewaktu merasmikan persidangan itu.

Friday, April 06, 2012

Pondan, lelaki lembut dilarang muncul di TV, radio

Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan yang disiarkan di halaman Facebooknya.

Arahan itu berbunyi: "Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama kerana dikatakan menyokong dan meningkatkan gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) ketika ini."

Pada 3 November, pihak berkuasa mengharamkan program Seksualiti Merdeka walaupun ia telah diadakan sejak beberapa tahun sebelumnya tanpa sebarang masalah.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina, yang dianjurkan oleh gabungan NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Thursday, March 29, 2012

Imam Hoslan Islamkan 2 banduan dalam penjara

Walaupun sedang menjalani hukuman penjara setahun kerana membaling kasut ke arah hakim, Imam Hoslan Hussein meneruskan tanggungjawab dakwah apabila dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua saudara baru dan mengajar agama dalam penjara.

NONEHarakahdaily memetik isteri Hoslan - Noorliza Mohd Isa - sebagai berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya dalam laporan Harakahdaily itu.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.

Wednesday, March 21, 2012

Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Yahudi?

Islam dan Yahudi
oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.


Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.

Ulasan ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis.

 

Wednesday, March 07, 2012

Satu juta penduduk hadapi gangguan air 14 Mac ini!

Kira-kira satu juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 14 Mac ini ekoran kerja-kerja penyenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata gangguan akan melibatkan 153 kawasan di Hulu Selangor, Petaling, Kuala Lumpur Klang/Shah Alam dan Kuala Langat.

"Gangguan bekalan air dijangka berlaku selama 36 jam bermula pada pukul 8 pagi 14 Mac sehingga 8 malam keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata di Hulu Selangor kawasan terlibat ialah Kuang, Kundang dan keseluruhan Bandar Tasik Puteri manakala kawasan Petaling melibatkan SS1 hingga SS6 Petaling Jaya, Kelana Jaya, kawasan perdagangan bebas SS8, Sungai Way, Damansara Kim, Damansara Utama, Damansara Jaya, Kampung Sungai Kayu Ara, Taman Megah, Taman Mayang Mas dan Taman Mayang.

Turut terlibat ialah Bukit Mayang Mas, Kampung Cempaka, Sungai Mas & Aman Suria, Damansara Idaman, Sunway Damansara & Mutiara Tropicana, Kampung Kayu Ara, Mutiara Damansara, Damansara Perdana & Bukit Lanjan, Taman Megah Mas, Bandar Utama, Tropicana Golf, TTDI & Pinggiran TTDI, Sungai Pencala, Seksyen 2 hingga 11, Kota Damansara, Pusat Perdagangan Kota Damansara, Monteres, Kayangan Height & Subang Sejahtera, Seksyen 12 hingga 14, Petaling Jaya, Kampung Melayu Subang, Subang Perdana, Mah Sing dan Subang Bestari.

azlanKawasan Kuala Lumpur melibatkan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara Resort, Pusat Sukan Bukit Kiara, Pusat Sains Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Bahagian Teknologi Pendidikan, Pusat Konvensyen Sime Darby , Jalan Segambir, Jalan Belimbing, Jalan Setia Bistari, Jalan Setia Murni 1 hingga 12, Jalan Setia Budi, Jalan Setia Rasa, Jalan Setia Raya, Jalan Setia Jaya, Jalan Medan Setia, Jalan Setia Bakti, Jalan Setia Kasih, Plaza Damansara dan Taman Seri Beringin.

Klang/Shah Alam pula melibatkan Sunway Kayangan, Subang Impian, Sunway Suria, Puncak Perdana, Sungai Kapar Indah, Pekan Meru, Bukit Kerayong, Kampung Budiman, Felda Bukit Cerakah, Cerakah Jaya, Bukit Kapar, Kampung Delik Kanan, Kampung Delik Kiri, Kampung Delik Dalam, Kampung Delik Baru, Kampung Sungai Udang, Jalan Sungai Bertik, Jalan Yadi, Jalan Batu Unjur, Jalan Kim Chuan, Taman Kim Chuan, Taman Bayu Perdan, Flat Sri Angkasa, Vista Indah Apartment,  Bandar Puteri, Bandar Ambang Botanic dan Taman Kota Permai.
  
Turut terlibat ialah kawasan Bandar Botani, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Flat Pendamar Indah, Taman Sentosa, Bandar Parkland, Kampung Idaman, Taman Gembira, Jalan Raja Lumu, Flat Perumahan Teluk Gadong Indah A, Rumah Teres Teluk Gadong Indah A, Flat Pandamaran Indah, Kampung Pendamar, Jalan Tengku Badar, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kastam, Pandamaran, Pandamaran Jaya, Taman Telok Gedung Besar dan Sobena Jaya.
Kawasan Kuala Langat pula melibatkan kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Kebun Baru.

Abdul Halem berkata sebagai langkah persediaan Syabas telah meletakkan 42 buah lori tangki dalam keadaan bersedia serta sebanyak 192 buah tangki statik di kawasan strategik bagi membekalkan air sekiranya berlakunya kecemasan.

Katanya orang ramai yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.

Abdul Halem berkata Syabas terpaksa menutup loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 itu sepanjang penyenggaraan kerana melibatkan kerja-kerja menukar peralatan yang mengalami masalah teknikal seperti injap.

Beliau berkata hentitugas itu juga perlu dilakukan bagi penambahbaikkan pam di loji rawatan itu bagi mencapai tahap kapasiti kepada 950 jumlah liter sehari (JLH) berbanding 840 JLH sekarang.

Tuesday, March 06, 2012

Sejak Chua Jui Meng berkawan dengan PAS

Chua Jui MengEnam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.
 
Subky Abdul Latif, The Malaysian Insider

Chua Jui Meng, ketua PKR Johor telah membuat kenyataan yang menarik semasa menjadi panelis dalam wacana Sinar Harian baru-baru ini.

Dia menyebut tentang perjuangan berlandaskan al-Quran dan Hadis oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat dan menerima pandangan pemimpin-pemimpin PAS tentang dosa bagi mereka yang terlibat dengan rasuah.

Mulai ramai pemimpin politik Cina yang bercakap nilai dan pandangan Islam terutama pemimpin muda DAP. Pandangan yang dibuat oleh Chua Jui Meng itu adalah senada dengan apa yang pernah dibuat oleh Lim Guan Eng dan beberapa Waibi muda DAP.

Tanpa memikir apa politik di sebalik pandangan Jui Meng itu, cakapnya boleh menyenangkan hati saya sebagai orang yang mendengarnya. Dia bercakap tentang apa yang saya suka.

Pertamanya cakapnya itu adalah menghormati pegangan orang PAS yang bersamanya dalam Pakatan Rakyat. Ia juga yang disenangi oleh orang Islam yang berada bersamanya dalam PKR. Apakah tidak ia juga menghormati kemahuan dan kepercayaan seluruh umat Islam? Tiga puloh tahun Jui Meng bergelumang dengan pemimpin dan orang Umno, berbelas-belas tahun dia menjadi menteri di bawah beberapa orang Perdana Menteri. Dia lebih awal dari Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin nasional MCA. Tidak pernah didengar dia ada bercakap tentang kebaikan Islam.

Apa yang disuarakan oleh Jui Meng itu belum pernah kita dengar dari mulut pemimpin-pemimpin MCA. Jika Soi Lek menyentuh tentang Islam dia seolah-olah mahu menjauhkan orang-orang Cina dengan Islam. Tidak salah kalau saya katakan dia cuba mengingatkan Cina tentang Islam seperti hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Jui Meng tidak pernah bercakap seperti itu semasa dalam MCA dulu. Baru berapa hari saja Jui Meng menyertai PKR? Baru hari  saja Jui Meng berkawan dengan orang PAS?

Sejak dia berkenal dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Hadi Awang, dia mengeluarkan suara senang didengar oleh orang Islam.

Sebagai seorang Islam saya positif atas cakap-cakap Jui Meng itu. Pandangan dan sikap seorang pemimpin Cina yang demikian cukup baik bagi perpaduan bangsa Malaysia. Jika lebih ramai orang bukan Islam dapat berpandangan sepertinya, maka sebahagian dari masalah penyatuan kaum dapat diselesaikan.

Lima puloh tahun lebih kita merdeka, penyatuan kaum seolah-olah terbengkalai. Terkial-kial Perdana Menteri Najib bercakap tentang 1 Malaysia, belum banyak yang dapat  dicapai, bahkan api perkauman bertambah tebal.

Suara Jui Meng itu boleh membawa kemajuan. Dia sudah berfikiran maju seperti Lim Guan Eng yang bercakap tentang nilai baik Khalifah Umar Abdul Aziz.

Perkembangan baru Jui Meng itu tentunya kesan dahwah PAS melalui politik khususnya sesama penyokong PKR. Sasaran PAS bukan sekadar politik, tetapi juga dakwah.

Sebelum PAS mendekati DAP reaksi Karpal Singh tentang perundangan Islam yang PAS cuba daulatkan ialah langkah mayatnya dulu. Sesudah berkawan dengan PAS, respons Karpal Singh ialah boleh dibincang. Dia tetap belum menenrimanya tetapi dia sudah boleh berbincang. Ia satu kejayaan dalam dakwah.

Dalam waktu yang terdekat ini saya tidak menduga Jui Meng, Guan Eng dan lain-lain akan masuk Islam walaupun itu yang saya harapkan. Tetapi perkembangan itu dapat membantu masyarakat bukan Islam berpandangan baik tentang Islam dan orang Islam.

Telah lama saya bercakap betapa eloknya jika seramai masyakat Malaysia berfikiran Islam. Bagi yang belum menerima hidayat, boleh terus dengan kepercayaan masing-masing, tetapi kalau mereka dapat berfikiran Islam, maka banyak yang dapat diamankan sesama bangsa Malaysia.

Jui Meng masih kekal dengan agamanya, tetapi dengan nadanya yang terbaru itu, hati Jui Meng telah lebih dekat dengan hati orang Islam dibanding dengan semalam atau sebelumnya.

Enam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.

Friday, January 13, 2012

Peserta himpunan 901 bersalam & berterima kasih pada Polis

SELEPAS para peserta perhimpunan aman 901 menerima berita bahawa mahkamah membebaskan Dato Seri Anwar Ibrahim, mereka bersorak gembira, melaungkan takbir dan mengucapkan "Alhamdulillah" bagi meluahkan perasaan bersyukur.

Saat itu, anggota Polis yang bertugas di sekitar Mahkamah Jalan Duta bagaikan artis terkenal apabila dihampiri oleh ribuan peserta yang mahu bersalaman dan mengambil gambar bersama mereka.




Para peserta mengucapkan "terima kasih", "Selamat bertugas", "Polis baik rakyat sayang" dan lain-lain. Di bawah ini antara gambar yang sempat diambil menggunakan handphone buruk ReJaM©.




Pihak Polis juga dilihat tersenyum dan dengan senang hati tidak keberatan melayan karenah para peserta yang menghampiri mereka.




Jelas sekali perhimpunan ini berjalan dengan aman kerana tiada FRU yang menyerang dan menangkap para peserta dalam perhimpunan aman ini. Berbeza dengan banyak perhimpunan sebelum ini.




Daripada dialog perbualan yang dapat difahami, para peserta perhimpunan aman ini mengucapkan terima kasih kerana pihak polis sanggup bersusah payah membantu mengawal perhimpunan 901.




Malangnya ada akhbar gila yang mahu rakyat percaya bahawa peserta perhimpunan ini yang terdiri daripada para penyokong Anwar Ibrahim meraikan pembebasan beliau dengan cara meletupkan bom.

Wednesday, January 11, 2012

Wan Azizah: KAU makbulkan munajat kami




SHAH ALAM - Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada petuduhan liwat sudah diketahui umum. Bagaimana pula dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Apa cerita di sebalik khabar gembira tersebut. Sinar Harian membawa pembaca menyelami rasa hatinya. Ikuti wawancara eksklusif Editor Sinar Harian, MAZLINDA MOHD NOR bersama Wan Azizah.

ABANG Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

"Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu."

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

"Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama."

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

"Ya RAHMAN... jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan."

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

"Ya AZIZ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL... berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

"Ya RAHMAN... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!"

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

"Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan."

"Ya ALLAH... rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

"Ya SAMIE’...terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini."

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM...ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

"Ya HAKIM... ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

"Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira."

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis misih ada.

"Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami."


Sinar Harian
source : http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2012/01/pilunya-hati-seorang-isteri-menanti.html?spref=fb