Thursday, March 29, 2012

Imam Hoslan Islamkan 2 banduan dalam penjara

Walaupun sedang menjalani hukuman penjara setahun kerana membaling kasut ke arah hakim, Imam Hoslan Hussein meneruskan tanggungjawab dakwah apabila dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua saudara baru dan mengajar agama dalam penjara.

NONEHarakahdaily memetik isteri Hoslan - Noorliza Mohd Isa - sebagai berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya dalam laporan Harakahdaily itu.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.

Wednesday, March 21, 2012

Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Yahudi?

Islam dan Yahudi
oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.


Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.

Ulasan ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis.

 

Wednesday, March 07, 2012

Satu juta penduduk hadapi gangguan air 14 Mac ini!

Kira-kira satu juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 14 Mac ini ekoran kerja-kerja penyenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata gangguan akan melibatkan 153 kawasan di Hulu Selangor, Petaling, Kuala Lumpur Klang/Shah Alam dan Kuala Langat.

"Gangguan bekalan air dijangka berlaku selama 36 jam bermula pada pukul 8 pagi 14 Mac sehingga 8 malam keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata di Hulu Selangor kawasan terlibat ialah Kuang, Kundang dan keseluruhan Bandar Tasik Puteri manakala kawasan Petaling melibatkan SS1 hingga SS6 Petaling Jaya, Kelana Jaya, kawasan perdagangan bebas SS8, Sungai Way, Damansara Kim, Damansara Utama, Damansara Jaya, Kampung Sungai Kayu Ara, Taman Megah, Taman Mayang Mas dan Taman Mayang.

Turut terlibat ialah Bukit Mayang Mas, Kampung Cempaka, Sungai Mas & Aman Suria, Damansara Idaman, Sunway Damansara & Mutiara Tropicana, Kampung Kayu Ara, Mutiara Damansara, Damansara Perdana & Bukit Lanjan, Taman Megah Mas, Bandar Utama, Tropicana Golf, TTDI & Pinggiran TTDI, Sungai Pencala, Seksyen 2 hingga 11, Kota Damansara, Pusat Perdagangan Kota Damansara, Monteres, Kayangan Height & Subang Sejahtera, Seksyen 12 hingga 14, Petaling Jaya, Kampung Melayu Subang, Subang Perdana, Mah Sing dan Subang Bestari.

azlanKawasan Kuala Lumpur melibatkan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara Resort, Pusat Sukan Bukit Kiara, Pusat Sains Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Bahagian Teknologi Pendidikan, Pusat Konvensyen Sime Darby , Jalan Segambir, Jalan Belimbing, Jalan Setia Bistari, Jalan Setia Murni 1 hingga 12, Jalan Setia Budi, Jalan Setia Rasa, Jalan Setia Raya, Jalan Setia Jaya, Jalan Medan Setia, Jalan Setia Bakti, Jalan Setia Kasih, Plaza Damansara dan Taman Seri Beringin.

Klang/Shah Alam pula melibatkan Sunway Kayangan, Subang Impian, Sunway Suria, Puncak Perdana, Sungai Kapar Indah, Pekan Meru, Bukit Kerayong, Kampung Budiman, Felda Bukit Cerakah, Cerakah Jaya, Bukit Kapar, Kampung Delik Kanan, Kampung Delik Kiri, Kampung Delik Dalam, Kampung Delik Baru, Kampung Sungai Udang, Jalan Sungai Bertik, Jalan Yadi, Jalan Batu Unjur, Jalan Kim Chuan, Taman Kim Chuan, Taman Bayu Perdan, Flat Sri Angkasa, Vista Indah Apartment,  Bandar Puteri, Bandar Ambang Botanic dan Taman Kota Permai.
  
Turut terlibat ialah kawasan Bandar Botani, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Flat Pendamar Indah, Taman Sentosa, Bandar Parkland, Kampung Idaman, Taman Gembira, Jalan Raja Lumu, Flat Perumahan Teluk Gadong Indah A, Rumah Teres Teluk Gadong Indah A, Flat Pandamaran Indah, Kampung Pendamar, Jalan Tengku Badar, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kastam, Pandamaran, Pandamaran Jaya, Taman Telok Gedung Besar dan Sobena Jaya.
Kawasan Kuala Langat pula melibatkan kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang dan Kebun Baru.

Abdul Halem berkata sebagai langkah persediaan Syabas telah meletakkan 42 buah lori tangki dalam keadaan bersedia serta sebanyak 192 buah tangki statik di kawasan strategik bagi membekalkan air sekiranya berlakunya kecemasan.

Katanya orang ramai yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.

Abdul Halem berkata Syabas terpaksa menutup loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 itu sepanjang penyenggaraan kerana melibatkan kerja-kerja menukar peralatan yang mengalami masalah teknikal seperti injap.

Beliau berkata hentitugas itu juga perlu dilakukan bagi penambahbaikkan pam di loji rawatan itu bagi mencapai tahap kapasiti kepada 950 jumlah liter sehari (JLH) berbanding 840 JLH sekarang.

Tuesday, March 06, 2012

Sejak Chua Jui Meng berkawan dengan PAS

Chua Jui MengEnam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.
 
Subky Abdul Latif, The Malaysian Insider

Chua Jui Meng, ketua PKR Johor telah membuat kenyataan yang menarik semasa menjadi panelis dalam wacana Sinar Harian baru-baru ini.

Dia menyebut tentang perjuangan berlandaskan al-Quran dan Hadis oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat dan menerima pandangan pemimpin-pemimpin PAS tentang dosa bagi mereka yang terlibat dengan rasuah.

Mulai ramai pemimpin politik Cina yang bercakap nilai dan pandangan Islam terutama pemimpin muda DAP. Pandangan yang dibuat oleh Chua Jui Meng itu adalah senada dengan apa yang pernah dibuat oleh Lim Guan Eng dan beberapa Waibi muda DAP.

Tanpa memikir apa politik di sebalik pandangan Jui Meng itu, cakapnya boleh menyenangkan hati saya sebagai orang yang mendengarnya. Dia bercakap tentang apa yang saya suka.

Pertamanya cakapnya itu adalah menghormati pegangan orang PAS yang bersamanya dalam Pakatan Rakyat. Ia juga yang disenangi oleh orang Islam yang berada bersamanya dalam PKR. Apakah tidak ia juga menghormati kemahuan dan kepercayaan seluruh umat Islam? Tiga puloh tahun Jui Meng bergelumang dengan pemimpin dan orang Umno, berbelas-belas tahun dia menjadi menteri di bawah beberapa orang Perdana Menteri. Dia lebih awal dari Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin nasional MCA. Tidak pernah didengar dia ada bercakap tentang kebaikan Islam.

Apa yang disuarakan oleh Jui Meng itu belum pernah kita dengar dari mulut pemimpin-pemimpin MCA. Jika Soi Lek menyentuh tentang Islam dia seolah-olah mahu menjauhkan orang-orang Cina dengan Islam. Tidak salah kalau saya katakan dia cuba mengingatkan Cina tentang Islam seperti hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Jui Meng tidak pernah bercakap seperti itu semasa dalam MCA dulu. Baru berapa hari saja Jui Meng menyertai PKR? Baru hari  saja Jui Meng berkawan dengan orang PAS?

Sejak dia berkenal dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Hadi Awang, dia mengeluarkan suara senang didengar oleh orang Islam.

Sebagai seorang Islam saya positif atas cakap-cakap Jui Meng itu. Pandangan dan sikap seorang pemimpin Cina yang demikian cukup baik bagi perpaduan bangsa Malaysia. Jika lebih ramai orang bukan Islam dapat berpandangan sepertinya, maka sebahagian dari masalah penyatuan kaum dapat diselesaikan.

Lima puloh tahun lebih kita merdeka, penyatuan kaum seolah-olah terbengkalai. Terkial-kial Perdana Menteri Najib bercakap tentang 1 Malaysia, belum banyak yang dapat  dicapai, bahkan api perkauman bertambah tebal.

Suara Jui Meng itu boleh membawa kemajuan. Dia sudah berfikiran maju seperti Lim Guan Eng yang bercakap tentang nilai baik Khalifah Umar Abdul Aziz.

Perkembangan baru Jui Meng itu tentunya kesan dahwah PAS melalui politik khususnya sesama penyokong PKR. Sasaran PAS bukan sekadar politik, tetapi juga dakwah.

Sebelum PAS mendekati DAP reaksi Karpal Singh tentang perundangan Islam yang PAS cuba daulatkan ialah langkah mayatnya dulu. Sesudah berkawan dengan PAS, respons Karpal Singh ialah boleh dibincang. Dia tetap belum menenrimanya tetapi dia sudah boleh berbincang. Ia satu kejayaan dalam dakwah.

Dalam waktu yang terdekat ini saya tidak menduga Jui Meng, Guan Eng dan lain-lain akan masuk Islam walaupun itu yang saya harapkan. Tetapi perkembangan itu dapat membantu masyarakat bukan Islam berpandangan baik tentang Islam dan orang Islam.

Telah lama saya bercakap betapa eloknya jika seramai masyakat Malaysia berfikiran Islam. Bagi yang belum menerima hidayat, boleh terus dengan kepercayaan masing-masing, tetapi kalau mereka dapat berfikiran Islam, maka banyak yang dapat diamankan sesama bangsa Malaysia.

Jui Meng masih kekal dengan agamanya, tetapi dengan nadanya yang terbaru itu, hati Jui Meng telah lebih dekat dengan hati orang Islam dibanding dengan semalam atau sebelumnya.

Enam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.