Saya sering juga menghadiri program-program yang dianjurkan oleh
pelbagai gereja di persekitaran tempat tinggal saya di Bandar Oxford
ini. Saya ingin melihat dan mendengar cara mereka.
BerubahHari
ini, pendekatan gereja sudah jauh berubah. Sangat lunak. Sekularisasi
yang memisahkan agama dari kuasa politik telah membawa gereja kepada
keadaan yang lebih tabii dan rasional.
Bicaranya penuh dengan
keterbukaan dan kasih sayang. Mereka sering mengulangi ayat bahawa kita
hanya ingin berkongsi pendapat, dan menyebarkan mesej yang baik. Kita
tidak ingin memaksa orang lain menjadi kristian tetapi ingin berkongsi
dengan mereka.
Bertukar pandangan tentang Tuhan dan berkongsi
isu-isu kemanusiaan. Di Gereja St Aldates diperuntukkan pagi Hari Selasa
‘Prayer for the Muslim World'.
Juga, banyak pula aktiviti
gereja yang menarik untuk pelbagai pihak. Kelas tarian, kelas bahasa
Inggeris, sejarah, lawatan dan perjumpaan mingguan. Ramai orang dari
pelbagai agama hadir untuk bersosial.
Tiada
penekanan untuk menerima agama Kristian, sebaliknya sekadar memberikan
khidmat. Ramai mereka yang mengendalikan program itu sendiri tidak
mendalam dari segi ilmu teologi itu sendiri.
Banyak persoalan
yang ditanya, sukar gagal dijawab dengan jawapan yang memuaskan. Namun,
walaupun mereka tidak menawan dengan hujah, tetapi dengan menambat hati
dan jiwa.
Banyak aktiviti kebajikan yang mereka lakukan di seluruh dunia menarik perhatian manusia.
Saya
melihat ramai sekali orang-orang Cina yang terlibat dengan pelbagai
aktiviti gereja di sini dan di seluruh UK. Ramai yang menjadi petugas
dan pendakwah. Mereka sangat aktif.
Bahkan ada gereja yang
memberikan tumpuan khas untuk mereka. Saya percaya bahawa ajaran
Kristian akan mendapat tempat di hati rakyat China. Bahkan tidak
mustahil satu hari China akan menjadi negara yang terbesar penduduk
Kristiannya.
Dalam adat dunia, sesiapa yang bekerja dia mendapat
hasilnya. Demikianlah pihak gereja. Mereka amat bijak apabila melihat
perkembangan China hari ini.
Mereka mengambil peluang yang ada. Jika masa depan China seperti yang diramalkan, sekali lagi Kristian berada di puncak.
MalangMalang
sekali umat Islam. Agama yang dianugerahkan Allah sebagai rahmat untuk
sekalian alam tidak disebarkan dengan kesungguhan. Jika disebarkan pun,
ramai yang menggunakan pendekatan yang salah.
Orang
Islam bukan tidak ada wang. Namun mereka telah bazirkan kepada
perkara-perkara yang tidak kena tempatnya. Pergilah lihat kepada
surau-surau yang dibina oleh jabatan-jabatan agama untuk Orang Asli di
Malaysia, sebahagiannya menjadi tempat binatang-binatang bersolat.
Tiada
petugas yang menjaga. Bukan sahaja kebajikan Orang Asli, tetapi surau
yang dibelanjakan oleh wang zakat itu pun dibiarkan begitu sahaja.
Jangan tanya kosnya yang mungkin melebihi harga patut.
Namun
jika kita ke kawasan pedalaman Thailand umpamanya, kita akan dapati
ramai pendakwah muda Kristian yang berasal dari Barat yang sanggup
tinggal beberapa tahun untuk menyebarkan agama mereka.
Saya pernah melihat mereka ketika suatu masa dahulu saya menyertai aktiviti dakwah kawasan pedalaman Thailand.
Akal Dan JiwaIslam
agama yang berbicara kepada akal dan jiwa manusia. Nas-nas Islam
berhujah dengan akal manusia, dan dalam masa yang sama memujuk mereka.
Inilah asas pendekatan dakwah Islam.
Islam tidak pernah kenal
kegiatan ganas dalam dakwah, sama ada pada tindakan ataupun perkataan
yang jelek. Allah mengarahkan Muslim. dalam firman-Nya (maksudnya):
"Dan berbicaralah kepada manusia dengan baik" (Surah al-Baqarah 83).
Ayat ini menyatakan "berbicaralah kepada manusia" bukan sekadar berbicara kepada orang Muslim sahaja.
Dalam
Tafsir at-Tabari, ketika mengulas ayat ini dinukilkan kata-kata Hasan
al-Basri: "Maksud ayat ini; perkataan yang lunak, adab yang baik, akhlak
yang mulia."
Banyak nas al-Quran dan hadis yang mengajar kita
untuk melakukan pendekatan yang lunak dalam menyeru orang lain kepada
kebenaran. Bukan melalui paksaan. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan
cercaan.
Firman Allah (maksudnya): "Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin (
polytheist)
meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya
sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang
hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang
demikian itu (perintah tersebut) kerana mereka itu kaum yang tidak
mengetahui (hakikat Islam)." (Surah at-Taubah, ayat 6).
Dalam
ayat di atas golongan bukan Islam yang meminta bantuan dilindungi dan
dihantar ke tempat yang aman sekalipun mereka enggan menerima Islam
setelah mendengar hujah yang benar.
Dalam Surah al-Nisa, ayat 36,
Allah berfirman (maksudnya): "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada
kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan
rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang
kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
sombong takbur dan membangga-banggakan diri".
Kata at-Tabari: "Maksud
al-jar bil-janb dalam ayat ini ialah jiran yang jauh dan asing. Ia merangkumi Muslim, musyrik (
polytheist) Yahudi dan Kristian."
Mazhab yang empat bersepakat bahawa harus kita Muslim mengucapkan takziah kepada non-Muslim.
Ibn Qudamah dalam
al-Mughni menyebut bahawa antara ucapan Muslim apabila memberikan takziah kepada Non-muslim ialah:
"Moga Allah memberikan ganti musibah yang menimpamu dengan yang terbaik dalam kalangan keluargamu."
PolitikHubungan indah yang Islam gariskan antara Muslim dan Non-Muslim telah bertukar menjadi isu politik dalam banyak keadaan.
Ajaran-ajaran
agama ini yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memilih nas-nas yang
ungkapkan oleh al-Quran dan hadis dalam suasana peperangan tapi cuba
dilaksanakan dalam suasana aman dan manusia mencapai tahap perubahan
yang seperti ini.
Sedangkan
nas semasa aman dan nas semasa perang tidak sama. Hasilnya, ramai bukan
Muslim gagal melihat wajah Islam yang asal. Allah yang Maha Rahmat itu
sering dilukis dalam gambaran Allah yang maha bengis.
Jika gereja
berubah daripada negatif kepada positif, kita juga patut kepada kepada
positif yang jelas termaktub dalam nas-nas kita.
Isu hubungan Muslim dan Non-muslim kadang-kala dimainkan oleh mereka yang berkepentingan politik.
Kerja
Muslim sepatutnya berdakwah dan berdiolag dengan cara yang baik,
bertukar menjadi bercoleteh dan merepek dalam perkara yang selekeh.
Kita
asyik merungut dakwah orang, kita tidak buat dakwah kita. Kita bising
‘Talking Bible' orang lain, kita tidak sediakan pun ‘Talking Quran'
kita.
Hari ini dunia persaingan. Pasaran dakwah dan pemikiran
sangat terbuka. Ia boleh sampai kepada manusia melalui pelbagai cara.
Jika kita hendak menawan manusia, tawanlah akal dan jiwanya.
Maka,
nanti ajaran ini akan meresap ke dalam dirinya. Namun, sekarang
berleter sebab orang berdakwah ataupun berkempen, tidak akan memberi
apa-apa kekuatan untuk orang menerima kita.