Cinta adalah perkara yang tidak boleh
dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir
dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu
benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga
adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.
Sesiapa yang
ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang
dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka
anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya,
lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.
Justeru,
hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks
ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan
antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti
dia penuh cinta.
Namun, cinta yang mendalam membawa kepada
hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang
bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan
semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia
sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan
kehendak dirinya.
Rakyat yang menerima bantuan juga bukan
semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana
merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin
menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri
yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.
Namun
tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap
hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur
yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.
Pelacur
Demikian,
ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan
itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak
dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.
Pun
begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas
muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.
Sementara
pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang
dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk
rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.
Adapun
hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani
dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.
Ia seperti
sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara.
Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan
yang gila-gila.
Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh
keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu
menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.
Pemerintah
mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang
terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah
kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.
Isteri dan Kroni
Betapa
ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni.
Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga
kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.
Hanya pemerintah
yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman
luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan
lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah:
“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu
mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.
Sebaliknya,
para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka
bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi
Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang.
Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku
diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah
r.a.”
“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa
dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan
pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja
dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa
yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba
Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana
yang Allah perintahkan”.
Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian
apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai
Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah
ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan
antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu
perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka
menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka.
Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan
harta mereka?.”
Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada
‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus
(bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah
menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya
engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun
menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara
sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar
al-Arqam (1406H)].
Teladan
Dari
jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu
bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur
kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak
amanah.
Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia
kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan
hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih
sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan
kepimpinannya tidak jujur dan khianat.
Hilang ataupun terhakisnya
semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari
tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri.
Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’
dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka
rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada
yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya
ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.
Apabila datang musim
maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan,
namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar
untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi
Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?! Semasa
peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu
terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas
orang tentera.
Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan
Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih
muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang
menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada
mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku
orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua”
(Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).
Demikianlah
pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ
suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara,
hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan
pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh
menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan
undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran
terhadap negara.