Tuesday, June 25, 2013

Bandung (Part 2)

Kami tiba di Pasar Baru jam 4 lebih. Ada lebih kurang satu jam sebelum Pasar Baru tutup. Walaupun waktu di Bandung lewat 1 jam daripada Malaysia tetapi pukul 630 petang dah gelap dan 630 pagi hari dah cerah.

Telekung kanak-kanak yang dipamerkan di Pasar Baru. Kalau berminat nak beli boleh beli di princessmiajunior.blogspot.com. Harganya RM100.

Di bawah adalah suasana membeli-belah di Lantai 1, Pasar Baru. Lantai satu adalah tempat membeli telekung dan kain ela.


 


Anakku yang keletihan setelah seharian berjalan. Tidur bersama hasil belian hari pertama di Bandung. Esok kami akan pergi bersiar-siar ke Gunung Berapi Tangkuban Perahu.



Thursday, June 20, 2013

Bandung (part 1)

April lepas, aku sempat ke Bandung, Indonesia bersama isteri dan anak. Bertolak dari LCCT jam 1120 mlm menaiki Air Asia. Flight dari KL ke Bandung cuma ada Air Asia sahaja. Tiada penerbangan lain yang terus ke Bandung dari Malaysia. Jika ingin naik MAS perlu turun di Jakarta yang terletak lebih 2 jam dari Kota Bandung.

Waktu di Bandung lewat 1 jam daripada waktu Malaysia. Pernerbangan mengambil masa lebih 2 jam dan kami tiba di Bandung pada jam 1 pagi waktu Indonesia. Mujur aku dah arrange dengan hotel untuk pick up di Airport. Jadi kami terus ke Carrcadin Hotel di tengah Kota Bandung. Check in dan terus tidur.

Esok paginya, kami turun bersarapan sekitar jam 730 pagi waktu Indonesia (830 pagi Msia) di kafeteria hotel. Perkara pertama yang aku tanya kepada waiter adalah sama ada makanan breakfast di situ Halal. Setelah dimaklumkan Halal baru la lega hati nak makan. Ramai juga warga Malaysia yang tinggal di hotel yang sama. Hotel Carrcadin ni terletak lebih kurang 660meter dari Pasar Baru.

Bersarapan bersama isteri dan anak. Yang di hujung tu adalah KA, member ofis yang telah tiba lebih awal di Bandung. Pilihan makanannya banyak. (Jauh lebih baik daripada Hotel Seri Malaysia). Hotel Carrcadin ni berstatus 4 bintang kalau mengikut laman web agoda.com. Harga bilik Standard sekitar RM150 semalam. 

Selepas bersarapan kami ke lobi menunggu supir yang telah ditempah lebih awal. Supir tiba agak lewat, sekitar 900pagi kerana ada kemalangan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Berikut adalah gambar yang sempat dirakam sekitar jalan raya di Kota Bandung yang sesak. Penduduknya berjumlah 12 juta orang dan 70% daripadanya beragama Islam.



Destinasi pertama kami bukan Pasar Baru. Setelah berbincang dengan Supir kami yang bernama Iyen, kami dibawa ke sebuah rumah pemilik kilang kain. Sempat kami memborong kain dan telekung.



Seterusnya kami ke Kedai Belacan Indonesian Cuisine (makanan Acheh) untuk makanan tengahari. Sedap makanannya!

Alpukat ni adalah minuman yang famous di Bandung, jangan lupa untuk cuba bila ke sana nanti. Ikan Garume Terbang ni pula satu lagi makanan yang top dan sedap, mesti cuba! Kami juga order Udang Telur Masin dan Sotong Goreng Tepung. Pengajarannya... jangan order makanan laut sebab Bandung jauh dari laut dan harga seafood mahal.





Lepas makan sempat singgah solat di Masjid Agung Al-Ukhuwwah untuk solat jamak sebelum bertolak ke Pasar Baru.



Tiba di Pasar Baru kami tidak mempunyai banyak masa sebab Pasar Baru tutup sekitar jam 530 petang. Maka kami cuma usha-usha je dulu. Kisahnya dalam posting yang akan datang....

(bersambung...)


Friday, February 22, 2013

Dr MAZA : Wang bantuan, upah sokongan dan undi

Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.
Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.
Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.
Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.
Pelacur
Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.
Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.
Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.
Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.
Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni
Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.
Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.
Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].
Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.

Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.
Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?!  Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.
Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.