Thursday, August 04, 2011

Laman Ramadhan 2 : Bijak Merancang

Teringat saya ketika membaca buku motivasi ‘Jutawan Senyap’ karangan Chef Li. Di dalam buku itu dimuatkan kisah seorang Wak yang datang dari Indonesia menaiki sampan meredah laut.

“Orang lain datang ke Malaysia turun kaki dulu, saya datang ke sini turun kepala dulu,” cerita Wak yang terjun ke laut dari sampannya ketika mula-mula beliau datang ke Malaysia.

Itu dulu. Sekarang Wak sudah menjadi orang kaya. Jenama keretanya BMW. Chef Li yang ketika itu seorang pegawai bank pun terkejut kerana Wak mampu menyimpan ratusan ringgit setiap hari di dalam bank yang diuruskannya.

Apa rahsia Wak ini ?

Rahsianya ialah bijak merancang. Kita tidak boleh buat semua kerja seorang diri. Jutawan hari ini bukannya kaya dengan kerjanya seorang diri. Sudah pasti ramai yang terlibat di dalam menjadikannya seorang jutawan. Mungkin para pekerjanya, pelanggannya dan pihak-pihak yang lain..

Wak menjadi kaya kerana memiliki beberapa beberapa buah gerai menjual ais kacang yang dijaga oleh pekerjanya. Bayangkanlah, kalau satu gerai Wak boleh untung RM 50 sehari. Berapa Wak dapat kumpul dalam satu jika dia memiliki 6 gerai ?!..

Itu perancangan untuk mengumpul kekayaan dunia …

Bagaimana pula perancangan untuk mengumpul kekayaan akhirat?!.. Teknik yang sama kita boleh aplikasikan. Kalau hanya mengharap masa kita yang singkat dan kudrat kita yang terhad, pastinya kita tidak mampu menjadi ‘Jutawan Akhirat’.

Mari kita renung kata-kata Rasullah : “Barangsiapa memberi makanan berbuka di bulan Ramadhan kepada seseorang yang berpuasa maka ganjarannya adalah pengampunan bagi dosanya, kemerdekaan dirinya dari neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu tanpa sedikitpun dikurangkan pahala puasanya.”

Inilah rahsia seorang yang bijak merancang untuk akhirat. Sponsorlah juadah berbuka kepada orang-orang yang berpuasa. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang sangat memerlukan.

Cubalah, insyaAllah hasrat anda untuk menjadi ‘Jutawan Akhirat’ pasti tercapai .. J

Ihsan;

BAKIP KLCC

Urusetia Tazkirah Jumaat

No comments: