Tuesday, March 06, 2012

Sejak Chua Jui Meng berkawan dengan PAS

Chua Jui MengEnam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.
 
Subky Abdul Latif, The Malaysian Insider

Chua Jui Meng, ketua PKR Johor telah membuat kenyataan yang menarik semasa menjadi panelis dalam wacana Sinar Harian baru-baru ini.

Dia menyebut tentang perjuangan berlandaskan al-Quran dan Hadis oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat dan menerima pandangan pemimpin-pemimpin PAS tentang dosa bagi mereka yang terlibat dengan rasuah.

Mulai ramai pemimpin politik Cina yang bercakap nilai dan pandangan Islam terutama pemimpin muda DAP. Pandangan yang dibuat oleh Chua Jui Meng itu adalah senada dengan apa yang pernah dibuat oleh Lim Guan Eng dan beberapa Waibi muda DAP.

Tanpa memikir apa politik di sebalik pandangan Jui Meng itu, cakapnya boleh menyenangkan hati saya sebagai orang yang mendengarnya. Dia bercakap tentang apa yang saya suka.

Pertamanya cakapnya itu adalah menghormati pegangan orang PAS yang bersamanya dalam Pakatan Rakyat. Ia juga yang disenangi oleh orang Islam yang berada bersamanya dalam PKR. Apakah tidak ia juga menghormati kemahuan dan kepercayaan seluruh umat Islam? Tiga puloh tahun Jui Meng bergelumang dengan pemimpin dan orang Umno, berbelas-belas tahun dia menjadi menteri di bawah beberapa orang Perdana Menteri. Dia lebih awal dari Dr Chua Soi Lek menjadi pemimpin nasional MCA. Tidak pernah didengar dia ada bercakap tentang kebaikan Islam.

Apa yang disuarakan oleh Jui Meng itu belum pernah kita dengar dari mulut pemimpin-pemimpin MCA. Jika Soi Lek menyentuh tentang Islam dia seolah-olah mahu menjauhkan orang-orang Cina dengan Islam. Tidak salah kalau saya katakan dia cuba mengingatkan Cina tentang Islam seperti hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Jui Meng tidak pernah bercakap seperti itu semasa dalam MCA dulu. Baru berapa hari saja Jui Meng menyertai PKR? Baru hari  saja Jui Meng berkawan dengan orang PAS?

Sejak dia berkenal dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Hadi Awang, dia mengeluarkan suara senang didengar oleh orang Islam.

Sebagai seorang Islam saya positif atas cakap-cakap Jui Meng itu. Pandangan dan sikap seorang pemimpin Cina yang demikian cukup baik bagi perpaduan bangsa Malaysia. Jika lebih ramai orang bukan Islam dapat berpandangan sepertinya, maka sebahagian dari masalah penyatuan kaum dapat diselesaikan.

Lima puloh tahun lebih kita merdeka, penyatuan kaum seolah-olah terbengkalai. Terkial-kial Perdana Menteri Najib bercakap tentang 1 Malaysia, belum banyak yang dapat  dicapai, bahkan api perkauman bertambah tebal.

Suara Jui Meng itu boleh membawa kemajuan. Dia sudah berfikiran maju seperti Lim Guan Eng yang bercakap tentang nilai baik Khalifah Umar Abdul Aziz.

Perkembangan baru Jui Meng itu tentunya kesan dahwah PAS melalui politik khususnya sesama penyokong PKR. Sasaran PAS bukan sekadar politik, tetapi juga dakwah.

Sebelum PAS mendekati DAP reaksi Karpal Singh tentang perundangan Islam yang PAS cuba daulatkan ialah langkah mayatnya dulu. Sesudah berkawan dengan PAS, respons Karpal Singh ialah boleh dibincang. Dia tetap belum menenrimanya tetapi dia sudah boleh berbincang. Ia satu kejayaan dalam dakwah.

Dalam waktu yang terdekat ini saya tidak menduga Jui Meng, Guan Eng dan lain-lain akan masuk Islam walaupun itu yang saya harapkan. Tetapi perkembangan itu dapat membantu masyarakat bukan Islam berpandangan baik tentang Islam dan orang Islam.

Telah lama saya bercakap betapa eloknya jika seramai masyakat Malaysia berfikiran Islam. Bagi yang belum menerima hidayat, boleh terus dengan kepercayaan masing-masing, tetapi kalau mereka dapat berfikiran Islam, maka banyak yang dapat diamankan sesama bangsa Malaysia.

Jui Meng masih kekal dengan agamanya, tetapi dengan nadanya yang terbaru itu, hati Jui Meng telah lebih dekat dengan hati orang Islam dibanding dengan semalam atau sebelumnya.

Enam puloh tahun MCA bersama Islam, mereka tidak kenal Islam, tetapi kurang dari dua tahun Jui Meng meninggalkan MCA dan berkenalan dengan PAS melalui PKR dan Pakatan Rakyat, dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang nilai-nilai Islam. Di sinilah untungnya kalau PAS dapat menggantikan Umno.

No comments: